JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih menunggu laporan makmal yang dijangka akan diperolehi tiga minggu lagi.

Ia bagi melengkapkan kertas siasatan kes kematian pasangan warga emas akibat memakan ikan buntal.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon berkata, selepas kertas siasatan lengkap, Ia akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi memutuskan sama ada pembekal ikan berkenaan akan didakwa atau sebaliknya.

"Siasatan semua masih dijalankan dan dalam masa terdekat ini, kalau ada laporan keluar, kita akan umumkan pada pihak media.

"Mengikut laporan forensik, memang kesan dari ikan buntal.

"Laporan makmal dari hari itu satu bulan, jadi bererti tiga minggu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa majlis berbuka puasa di Johor Bahru pada Ahad.

Menurut Tian Soon, JKNJ juga kini sedang berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan dan kepakaran dari universiti tentang hal perundangan dalam kes berkenaan.

Orang awam turut dinasihatkan supaya tidak membeli ikan buntal untuk dijadikan hidangan.